jump to navigation

Jaga kepentingan Melayu April 15, 2008

Posted by ganulening in Rencana.
Tags: , , , , , , , , ,
trackback

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya.

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Aceh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mualaf bertakrif Melayu

Dari petikan rangkap puisi tersebut, penulisnya Allahyarham Usman Awang telah memberi satu takrifan tentang siapa itu Melayu yang disusunnya dalam baris-baris ayat yang cukup indah.

Takrifan sasterawan agung ini juga sebenarnya tidak lari dengan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung maksud Melayu.

Justeru tidak ada polemik yang harus dipanjangkan tentang takrifan Melayu kerana sesiapa yang beragama Islam di negara ini juga merupakan Melayu dalam konteks yang luas.

Namun sedihnya, masih ada lagi yang keliru apabila menyentuh soal Melayu hinggakan sesetengahnya menganggap perbincangan berhubung Melayu adalah suatu asabiah sempit.

Justeru dapat dilihat bagaimana suara-suara ke arah penyatuan Melayu masih tidak disambut dengan satu keghairahan yang diharapkan.

Datuk Nakhaie Ahmad ketika mengulas soal ini ternyata kesal dengan suara-suara sinis mempertikaikan kepada usaha-usaha penyatuan umat Melayu.

“Golongan ini kata, mengapa perpaduan Melayu, dan bukan perpaduan Islam? Sebenarnya Islam sebagai agama tidak perlu disatukan lagi kerana ia risalah kekal abadi yang dipelihara Allah.

“Maka yang perlu kepada perpaduan ialah orang Islam yang berpecah belah dan untuk menghimpunkan seluruh umat Islam di dunia ini tentu di luar keupayaan.

“Jadi di Malaysia kalau tidak Melayu, siapa lagi yang harus disatukan kerana rebah Melayu maka rebahlah Islam,” ujar ulama tersebut.

Sebab itu apa yang dikatakan Nakhaie memang benar, Islam mungkin terjejas di Malaysia jika Melayu selaku pendukungnya rebah bila melihat keputusan pilihan raya umum lalu yang jelas menggambarkan kaburnya survival Melayu.

Bukan soal UMNO hilang sokongan semata-mata, sebaliknya jika dilihat dalam pembangkang sendiri, Pas mempunyai jumlah kerusi paling sedikit antara parti pembangkang yang lain.

Sedangkan Pas adalah parti pembangkang utama Melayu sama seperti mana sandaran orang Melayu kepada UMNO di pihak kerajaan atau Barisan Nasional (BN).

Soal Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin boleh diketepikan kerana masih banyak tanda tanya walaupun penerajunya adalah pemimpin Melayu.

Ini kerana sikap ‘membujur lalu melintang patah’ pemimpin mereka seperti yang terbukti dalam tindak-tanduk mereka, menguatkan lagi kesangsian itu.

Mungkin boleh difahami walau apa sahaja alasan, parti pembangkang tidak berminat atau tidak berani menunjukkan minat kerana mereka baru sahaja mendapat sokongan ‘luar biasa’ bukan Melayu pada pilihan raya yang lalu.

Namun biar apa pun halangan daripada orang Melayu sendiri, ia tidak harus menjadi sebab mengapa gerakan penyatuan Melayu tidak boleh diusahakan.

Setidak-tidaknya ia penting untuk meniup kesedaran dan keinsafan bahawa masa sekarang cukup mendesak untuk mempertahankan segala perkara yang membentuk ketuanan Melayu.

Atas sebab itu, beberapa pertubuhan Melayu Islam bergabung menubuhkan Barisan Bertindak Penyatuan Melayu (BBPM) yang selesai mengadakan perhimpunannya Sabtu lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Perhimpunan bersejarah itu walaupun sebahagian besarnya dihadiri ‘orang-orang lama’ namun impak kepentingannya tidak boleh dinafikan.

Paling tidak, generasi lama membangkitkan bagaimana perkara-perkara yang menjadi asas ketuanan Melayu terutama agama Islam, hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu kini jelas terancam.

Seperti kata bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hassan Ahmad, ancaman ini juga sebenarnya bukan hanya kerana perkembangan politik semasa yang menyaksikan suara-suara menuntut hak sama rata semakin jelas kedengaran.

“Tetapi kelemahan jati diri Melayu itu sendiri antara puncanya sedangkan selama 450 tahun Melayu dijajah tidak ada pun umat terdahulu menganut Kristian atau bangga bertutur dalam bahasa penjajah berbanding sekarang,” katanya.

Biarpun wujudnya ancaman globalisasi yang menghakis kemelayuan, namun dalam masa yang sama tidak ada sesiapa boleh menidakkan bahawa perkembangan selepas pilihan raya lalu adalah ancaman terdekat yang mampu meruntuhkan ketuanan Melayu.

Ini seperti mana titah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan perhimpunan tersebut yang pada baginda, jika tidak dilakukan sesuatu, tidak mustahil ketuanan Melayu di negara yang Melayu sendiri adalah penduduk asalnya, akan lenyap.

Sehubungan itu gesaan yang dibuat oleh Tengku Mahkota Kelantan supaya semua pemimpin Melayu Islam bermuzakarah secara tertutup dan bijaksana harus diberi perhatian serius.

Ini kerana yang tinggal pada Melayu kini hanyalah kekuasaan politik biarpun ia semakin terhakis.

Maka inilah amanah terpenting yang dipikul pemimpin politik Melayu sekarang bahawa mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelangsungan ketuanan Melayu di negara ini.

Seperti mana kata tokoh budayawan, Tan Sri Abdul Aziz Tapa pada perhimpunan tersebut, masa depan Melayu bergantung ke mana arah tuju yang dibawa oleh pemimpin kerana akar umbi hanyalah ibarat gerabak.

Untuk membawa ke jalan yang sepatutnya, maka pemimpin politik Melayu harus sepakat pada perkara-perkara pokok membabitkan kepentingan bangsa. Tetapi mencari kesepakatan ini hanya boleh dilakukan jika ada muzakarah.

Oleh itu, perbezaan ideologi harus diketepikan dan sebaliknya secara berlapang dada menyahut seruan penyatuan dengan mengikis sebarang rasa bimbang tidak mendapat sokongan pengundi bukan Melayu kerana yang mustahak adalah memelihara kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Seperti yang diingatkan oleh Tengku Muhammad Faris, biar apa pun, pemimpin Melayu harus tahu jangan berpolitik ‘hingga menang sorak kampung tergadai’.

Comments»

No comments yet — be the first.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: