jump to navigation

Pembangkang berpecah di Selangor? April 21, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini, Politik.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Rakyat Selangor diseru supaya bersatu dan bersedia menghadapi kemungkinan perpecahan dalam pakatan pembangkang yang diwakili oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP yang ketika ini memerintah negeri ini.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Noh Omar berkata, pakatan ketiga-tiga parti berkenaan terlalu ‘rapuh’ dan tidak berada pada landasan atau matlamat yang sama untuk menerajui negeri itu.

Katanya, keadaan sedemikian jelas dilihat pada pilihan raya umum lalu dengan penggunaan simbol masing-masing dan bukannya berpegang kepada satu simbol seperti Barisan Nasional (BN).

Malah, tiada satu parti pun termasuk BN sendiri berjaya mendapatkan kemenangan majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri yang memerlukan 29 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurutnya, Selangor kini diperintah sebuah kerajaan yang lemah kerana tiga parti itu sebenarnya, mempunyai ideologi berbeza dan hanya bergabung untuk membentuk kerajaan negeri semata-mata.

“Kita tahu Pas yang bercakap tentang negara Islam tetapi DAP sudah beri amaran kepada Pas jangan lagi cakap mengenai perkara itu.

”PKR pula terdiri daripada pelbagai kaum dan kita tidak tahu bagaimana mereka akan membela antara satu dengan lain termasuklah menjaga kepentingan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran bersama persatuan penduduk dan persatuan teksi di Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Noh yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menambah, sekiranya satu parti dalam pembangkang itu keluar daripada pakatan mereka, kerajaan Selangor yang ditadbir mereka akan runtuh.

”Kalau Pas keluar daripada pakatan, mereka akan tinggal 28 kerusi saja kerana PKR hanya mempunyai 15 kerusi manakala DAP hanya 13 kerusi.

“Sekiranya DAP keluar, lagi hancur kerajaan negeri kerana mereka akan hanya tinggal 23 kerusi, lagilah mereka tidak boleh memerintah,” jelasnya.

Beliau turut menyeru setiap ahli UMNO supaya kembali dan menghayati semangat generasi terdahulu yang ditunjukkan pada tahun 1946 yang sentiasa bersatu walaupun pada ketika itu masyarakat Melayu berada dalam serba kemiskinan, tiada kemajuan dan buta huruf.

Katanya, semangat perpaduan sedemikian perlu diterapkan kepada generasi hari ini kerana ia terbukti telah membawa perubahan kepada orang Melayu dahulu menentang penjajahan.

“Semangat sedemikian perlu ada pada setiap ahli UMNO dan orang Melayu pada masa ini kerana tanpa ahli yang bersatu padu, tiada siapa pun yang boleh menjadi pemimpin atau bangsa yang hebat,” ujarnya.

Katanya, sekiranya pemimpin datang dari langit sekali pun, tetapi jika ahli tidak bersatu padu, pemimpin dan keseluruhan masyarakat tidak akan berjaya.

MB: Kembalikan royalti minyak Terengganu April 21, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini, Politik.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Terengganu menuntut royalti petroleum, yang ditarik balik sejak 2000 sewaktu negeri itu ditadbir PAS, dikembalikan kepada kerajaan negeri.Perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad menukar wang royalti 5 peratus kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut “wang ehsan”.

Menteri besar baru Datuk Ahmad Said hari ini menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan pengurusan wang royalti kepada kerajaan negeri, lapor Bernama.

Beliau berkata sudah tiba masanya wang royalti diserahkan sepenuhnya kepada Terengganu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.

“Kita berharap bahawa kalau boleh kerajaan pusat kembalikan royalti itu, kita cakap terus teranglah… tidak boleh selindung lagi. Kita mengharapkan duit (royalti) dapat kepada kita,” beliau dipetik sebagai berkata di Kuala Terengganu hari ini. Ahmad dilaporkan berkata, sejak DKKP diperkenalkan, semua projek yang menggunakan dana itu disalurkan terus kepada kementerian yang melaksanakannya tanpa merujuk kerajaan negeri menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi kesan besar akibat tidak mengambil kira keperluan rakyat.

“Ada projek yang kita rancang… kita akui. Tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat.

“Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya.

“Ini yang menjadi masalah… sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.

“Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang, ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah,” katanya.

Ahmad berkata wang royalti diserahkan kembali, ia akan memudahkan kerajaan negeri merancang projek pembangunan menurut keutamaannya berbanding amalan sekarang yang memerlukan permohonan dikemukakan terlebih dahulu kepada kerajaan pusat.

Kerajaan negeri bawah menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, selepas merampas kembali Terengganu dalam pilihanraya umum 2004, menarik balik tindakan saman yang difailkan oleh pentadbiran PAS.

PAS, ketika pilihanraya umum baru-baru ini, memasukkan dalam manifestonya usaha menuntut kembali wang royalti ini melalui proses mahkamah.

Isu perbelanjaan wang royalti dikatakan menjadi satu daripada beberapa punca pihak istana tidak melantik semula Idris, dan menggantikannya dengan Ahmad.

 

Ladang babi komersil dilarang di Kelantan April 21, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini, Politik.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Kerajaan Kelantan tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuka ladang ternakan babi secara komersil di negeri tersebut.nik aziz 02“Cukuplah ladang yang sedia ada (yang diternak oleh bukan Islam) di belakang rumah,” kata menteri besar Datuk Nik Aziz Nik Mat kepada pemberita di Pasir Puteh.

Mengenai cadangan kerajaan Selangor untuk meluluskan ladang ternakan babi secara komersial, Bernama memetik beliau sebagai berkata:

“Kita sokong asalkan ia tidak akan mencemarkan alam sekitar dan penduduk bukan Islam juga berhak dalam soal menternak babi ini,” katanya hari ini.

Kerajaan Selangor meluluskan cadangan itu kepada sebuah syarikat untuk menternak babi di Sepang.

Katanya, tiada sebab mana-mana pihak menghalang cadangan itu sekiranya syarikat yang mengusahakan ladang berkenaan dapat memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

 

Hasrat Anwar tak akan jadi kenyataan April 18, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini, Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru tidak akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut beliau, cadangan untuk membentuk sebuah kerajaan baru oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertujuan untuk memfokuskan pandangan orang ramai daripada isu tertentu sahaja.

”Anwar buat ramalan tiap-tiap minggu tapi satu pun tak tepat, dia tak berubah dari dulu.

”Kita sebenarnya kena catat ramalan ini, banyak yang dia cakap tak jadi kenyataan, bila tak jadi kenyataan orang lupa dan ramalan lain diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Isu-isu Semasa oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, apa yang penting Barisan Nasional (BN) tidak mengikut rentak yang dimainkan oleh pembangkang sebaliknya mengikut rentak parti itu sendiri.

Anwar sebelum ini berkata, pembangkang akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan melompat keluar parti dan menyertai PKR bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, Pemuda UMNO akan memberikan peluang kepada semua ahlinya untuk membangkitkan soalan-soalan bagi melancarkan proses pemulihan di dalam sayap UMNO itu.

”Kita mendengar pandangan dan menjawab soalan yang dibangkit oleh ahli, bukan sahaja peringkat kepimpinan tetapi ruang kepada ahli jawatankuasa Pemuda untuk menyumbang kepada proses kumpul maklumat dan memberi kesempatan kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam usaha pemulihan.

”Dalam proses berkenaan, kita lihat ahli di peringkat jawatankuasa bahagian dan cawangan begitu peka dan prihatin mengenai perkembangan politik semasa serta faham tuntutan cita rasa orang ramai di luar sana,” katanya.

Tambahnya, apa yang perlu diambil kira dalam mengorak langkah ke depan ialah memastikan perubahan itu dapat dihayati oleh kepimpinan Pemuda supaya Pemuda sentiasa relevan dan ahli-ahlinya tidak berputus asa.

Pemuda UMNO, juga katanya bertekad supaya semua perbuatan tuding menuding antara satu sama lain perlu dihentikan kerana apa yang penting ketika ini ialah melakukan kerja dan memikirkan strategi untuk melaksanakan proses membina semula perjuangan.

”Kita perlu berhenti membawa isu dalaman UMNO melalui perbincangan secara terbuka kerana sekarang telah masuk tempoh sebulan setengah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

”Justeru, ahli-ahli pergerakan ini percaya tindakan konkrit ke arah pembinaan dan transformasi sayap kita sendiri perlu dilakukan,” katanya.

Projek babi macam taktik Israel? April 14, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini.
Tags: , , , , , , , , , , ,
3 comments

Projek penternakan babi yang diuruskan secara lebih moden seperti di Selangor, kini bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, dianggap satu usaha popular pembangkang memenangi hati pengundi bukan Melayu. Datuk Mohd Nakhaie Ahmad mengajak orang Melayu berhati-hati dengan langkah seumpama Pakatan Rakyat ini kerana ia boleh menghakis hak dan keistimewaan mereka.


“Kita bimbang yang menjadi tawaran dalam usaha meraih sokongan politik orang-orang bukan Melayu itu, ialah hak-hak orang Melayu.


“Bahkan sensitiviti orang-orang Melayu, dirasakan, tidak perlu lagi dipelihara. Tidak mengapa ladang ternak babi dibangunkan berdekatan kampung Melayu,” kata Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


“Apakah ini suatu tindakan halus untuk mengusir orang-orang Melayu dari kampung halaman mereka sebagaimana Israel mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka?”


Beliau berucap sedemikian di awal forum ‘Memperkasakan Perpaduan Melayu untuk Kesejahteraan Nasional’ sempena Perhimpunan Perpaduan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Beliau sebelum itu mengajak peserta program berwaspada dengan perkembangan baru politik susulan keputusan pilihanraya umum 8 Mac yang menolak BN dan menguntungkan pembangkang, termasuk parti Melayu seperti PAS dan PKR.


“Waspadalah wahai bangsaku terhadap trend politik orang-orang Melayu kini, akibat situasi politik pasca pilihanraya umum ke-12. Parti politik Melayu yang mendapat sokongan orang bukan Melayu, sedang dan akan mengambil langkah-langkah popular demi mengekalkan sokongan itu untuk mereka,” katanya, juga mantan setiausaha agung PAS.


Beliau juga bimbang dengan kemerosotan pengaruh BN dalam kalangan pengundi bukan Melayu.”Yang kehilangan sokongan orang-orang bukan Melayu pula, berusaha menarik semula sokongan itu. Kita bimbang yang menjadi tawaran dalam usaha meraih sokongan politik orang-orang bukan Melayu itu, ialah hak-hak orang Melayu,” tambah cendekiawan Melayu itu.

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “perpecahan yang diinstitusikan”, Mohd Nakhaie menganggap kerajaan Pakatan di Perak sebagai “kuda tunggangan dan boneka orang bukan Islam” demi memuaskan kehendak politik pembangkang “menumbangkan kerajaan yang dipimpin orang Melayu.”

 


“Inilah antara akibat perpecahan yang diinstitusikan. Bagi saya, ini adalah satu tragedi yang tidak boleh dilupakan,” katanya.


Menurutnya lagi, perpecahan orang Melayu dalam dua kumpulan besar – BN dan Pakatan – melemahkan kuasa politik mereka walaupun jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat cukup untuk membentuk kerajaan sendiri.


“Di Perak, orang-orang Melayu dalam Umno dan PAS adalah majoriti di DUN. Jika bersatu mereka boleh membentuk kerajaan yang mampu mempertahankan kuasa politik orang-orang Melayu. Tetapi kerana perpecahan antara kedua-dua parti politik ini telah diinstitusikan, perkara yang sepatutnya berlaku untuk mempertahankan kuasa politik orang-orang Melayu, tidak berlaku,” katanya.“Di parlimen sekarang kerusi di tangan orang-orang Melayu berjumlah 129 kerusi.

 


“Walaupun kerusi yang disandang orang-orang Melayu adalah majoriti, namun perpecahan di kalangan mereka yang telah diinstitusikan atas garis akidah yang dipolitikkan dan politik yang diakidahkan, dimangkinkan pula oleh politik kebencian, tidak akan memberi apa-apa jaminan bahawa majoriti itu akan dapat mempertahankan kuasa politik orang-orang Melayu,” katanya.


“Ini kerana jumlah kerusi (ahli parlimen Melayu) berkenaan berpecah dua kepada 86 kerusi BN dan 43 kerusi dalam Pakatan Rakyat.”


Pada bahagian awal ucapannya, Mohd Nakhaie berkata generasi tua bukan Melayu menjelang kemerdekaan menerima hakikat bahawa negara ini milik Melayu yang memberi jaminan hak dan keistimewaan kepada penduduk peribumi itu.
 

“Penyerahan kerakyatan kepada orang-orang bukan Melayu adalah bersyarat. Mereka mestilah menghormati hak-hak istimewa orang-orang Melayu, kedaulatan institusi Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.


“Semua persetujuan itu diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh dibangkitkan lagi dan telah diaktakan sebagai perkara sensitif yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.”
 

Namun begitu, tambahnya, generasi muda bukan Melayu tidak menghormati persetujuan ini dan orang Melayu turut terikut-ikut dengan rentak perjuangan bukan Melayu.
“Alasan mereka (bukan Melayu) bahawa, sebagai rakyat, mereka berhak menikmati persamaan mutlak. Hak istimewa orang-orang Melayu dianggap diskriminasi. Semua agama mesti dilayan sama rata bagi menghormati hak dan kebebasan beragama.
 

“Hakikatnya, persamaan yang dituntut itu tidak adil, kerana ia dibuat tanpa menghargai sejarah dan syarat mereka (bukan Melayu) diterima sebagai rakyat negara ini,” katanya.
“Malangnya, terdapat di kalangan sebahagian kecil orang-orang Melayu terikut-ikut dengan rentak perjuangan orang-orang bukan Melayu yang tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami sejarah negara ini.
 

“Berlandaskan perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan beragama konon, mereka (generasi muda Melayu) melihat bahawa hak istimewa orang-orang Melayu dan Islam sebagai agama negara, tidak relevan lagi.
 

“Hak kita yang sah, tetap hak dan sebarang usaha merampas hak itu atau mengeluarkannya daripada garis kesinambungan sejarahnya, mestilah ditentang.
 

“Suara meremehkan hak kita kian lantang. Usaha jahat itu mesti ditentang dengan tegas dan berkesan. Jika dibiarkan, dayuslah kita. Bangsa yang dayus, tidak berhak hidup. Putaran sejarahnya, lambat laun akan berhenti.”
 

“Sebagai bangsa bermaruah di bumi sendiri, kita tidak akan membiarkan kata-kata ‘tak kan Melayu hilang di dunia’ menjadi sepi, sesepi tanah perkuburan.”
Menjawab sebab perhimpunan itu memberikan tumpuan pada perpaduan bangsa, bukannya perpaduan umat Islam, Mohd Nakhaie berkata perpaduan Melayu lebih mampu diusahakan di negara ini berbanding perpaduan umat yang bersifat sejagat.
 

“Yang mampu disuarakan kini, hanya perpaduan orang-orang Melayu, yang beragama Islam. Mereka adalah sebahagian daripada umat Islam seluruhnya. Pun begitu, suara perpaduan Melayu itu sendiri berhadapan dengan cabaran yang tidak mudah dihadapi,” katanya.
 

“Kami cuba berpijak di tanah rata, tidak tersesat dalam impian idealisme penyatuan umat di seluruh dunia, tidak mahu terkandas di persimpangan, jalan seribu liku.
 

“Kami cuba melihat hanya yang nampak, yang nampak dengan mata kasar dan dengan hati nurani. Kami sedar, jika orang Melayu di negara ini tersungkur, kedaulatan Islam juga turut tersungkur, justeru orang-orang Melayu adalah pendukung agama suci ini,” katanya.
 

Tambahnya lagi, orang Melayu selalu berpecah kecuali sewaktu menentang Malayan Union pada 1946 dan menghadapi senario rusuhan antara kaum pada 1969.


“Perpecahan kali ini (pilihanraya 2008) lebih parah. Justeru perpecahan telah diinstitusikan, berlandaskan perbezaan politik dan akidah.

Tunjuk perasaan bantah projek ladang ternakan babi RM100 juta April 10, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Kira-kira 200 orang berkumpul di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang menempatkan pejabat Menteri Besar pagi Rabu bagi membantah tindakan kerajaan Selangor yang meluluskan projek ladang ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta.


Kesemua mereka yang berkumpul merupakan penduduk dari daerah Sepang dan Kuala Langat daripada Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, Tanjung Laut, Kampung Layang, Kundang dan Kampung Indah iaitu kawasan berhampiran projek yang bakal dilaksanakan itu.


Penduduk terbabit mula berkumpul sejak pukul 10.30 pagi sambil membawa beberapa sepanduk melahirkan rasa marah dan tidak puas hati terhadap projek yang diluluskan kerajaan Selangor baru-baru ini.


Seorang wakil penduduk, Mohamad Tarmudi Tushiran berkata majoriti penduduk membantah projek itu kerana mencemarkan alam sekitar dan boleh membawa penyakit bawaan terutama Japanese Encephalitis (JE) seperti yang berlaku di Bukit Pelandok di Negeri Sembilan, tidak lama dulu.

 

Beliau mendakwa kawasan itu sudah menjadi pusat ternakan babi secara kecil-kecilan sejak berpuluh tahun lepas dan mendatangkan masalah pencemaran alam sekitar.


“Kami pastinya risau apabila projek ini dimajukan sudah tentu jumlah ternakan babi bertambah dan alam sekitar lebih teruk tercemar dengan bau najis yang menganggu penduduk,” katanya yang juga merupakan Ketua Kampung Tumbuk Darat.


Mohamad Tarmudi berkata industri pelancongan di kawasan Pantai Morib dan Kelanang juga akan terjejas kerana pengunjung akan berasa jijik dengan persekitaran yang menjadi pusat ternakan babi terbesar di Selangor itu. Beliau turut mewakili penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri yang diberikan kepada Setiasaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad di perkarangan SUK. Antara kandungan memorandum itu, penduduk mendesak kerajaan negeri membatalkan atau memindahkan projek ternakan babi secara moden itu ke tempat lain seperti di Pulau Ketam yang majoritinya bukan Islam.


Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek ternakan babi berpusat secara moden di Ladang Tumbuk, Kuala Langat di Selangor akan diteruskan dengan memantapkan lagi proses pelaksanaannya.


Beliau berkata kawasan projek ternakan babi itu sudah menjadi ladang haiwan babi utama di negeri ini dan ia memenuhi keperluan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan negeri.


Projek itu diluluskan oleh mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang ketika itu dipengerusikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada 30 Jan lepas, katanya.


Namun dalam reaksinya bekas Menteri Besar itu menjelaskan kerajaan negeri pimpinannya hanya baru membuat perbincangan awal tetapi tidak ada kata muktamad.


Lagipun menurutnya apa yang dipersetujui ialah projek itu untuk skala kecil sahaja, tidak sampai RM100 juta kerana Selangor tidak perlu projek penternakan babi bernilai sebanyak itu. Beliau meminta kerajaan negeri sekarang mengkaji semula untuk membatalkan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Ladang Tumbuk, Kuala Langat, jika benar-benar mahu berbuat demikian.

 

Beliau berharap kerajaan negeri pimpinan PKR itu tidak mengaitkan keputusan melulus kan projek itu pada 2 April lalu, dengan apa yang diluluskan oleh pentadbirannya pada 30 Januari lepas.

 

 

 

 

Barisan EXCO Terengganu selesai dibentuk April 9, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini.
Tags: , , , ,
add a comment

 

Seramai sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan mengangkat sumpah dalam Istiadat Perlantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pagi ini (9 April). Majlis mengangkat sumpah jawatan berlangsung di depan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin.

  

Mereka yang dilantik terdiri daripada tiga muka lama, iaitu Adun Cukai, Dato’ Mohamed Awang Tera; Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu) dan Adun Bandar, YB Toh Chin Yaw.

 

Manakala tujuh muka baru menerajui portfolio Exco Negeri terdiri daripada YB Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir); YB Khazan Che Mat (Batu Rakit); YB Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan); YB Ashaari Idris (Langkap); Dato’ Za’abar Mohd Adib (Rantau Abang); YB Rozi Mamat (Telemong) dan Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar.

 

Istiadat yang berlangsung kira-kira sejam itu dimulakan dengan Menteri Besar, Dato’ Ahmad said mengadap Pemangku Raja dan menyembahkan senarai nama Exco sebelum kesemua sepuluh Exco berkenaan mengadap Pemangku Raja seorang demi seorang dan melafaz sumpah jawatan.

 

Menteri Besar dan barisan Exco baru kemudiannya menghadiri jamuan tengah hari sebelum ke Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu bagi menghadiri mesyuarat Exco dan penetapan portfolio masing-masing.     

 

Berikut senarai penuh barisan EXCO Terengganu yang telah dilantik : 

 

 

Menteri Besar

YAB Dato’ Ahmad Said

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Negeri

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Negeri

Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Petroleum dan Hasil Bumi Negeri

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri

 

YB Ramlan Ali

Timbalan Pengerusi I Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri

YB Rosli Othman

Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri

 

YB Ahmad Razif Abd Rahman

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri

YB Mohd Zawawi Ismail

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri

 

YB Yahaya Khatib Mohamad

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri

YB Zakaria @ Mohd Ariffin Abdullah

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri

 

YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri

YB Alias Abdullah

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri

 

YB Dato’ Mohamed Awang Tera

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri

YB Dato’ Rosol Wahid

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri

 

YB Asha’ari Idris

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri

YB Nawi Mohamad

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri

 

YB Toh Chin Yaw

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri

YB Abd Halim Jusoh

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri

 

YB Datuk Za’abar Mohd Adib

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri

YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri

 

YB Khazan Che Mat

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri

YB Muhamad Ramli Nuh

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri

 

YB Rozi Mamat

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri

YB Muhammad Pehimi Yusof

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri

 

YB Dr. A Rahman Mokhtar

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri

YB Dato’ Din Adam

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri

Selangor teruskan projek ternak babi April 8, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

SHAH ALAM 8 April – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor tetap meneruskan projek ternakan babi moden di negeri itu walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, projek itu yang akan dilaksanakan di Sepang sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini pada 30 Januari lalu.    

Justeru, jelasnya, barisan Exco Selangor yang bermesyuarat Rabu lalu merasakan amat wajar untuk meneruskan projek berkenaan memandangkan kawasan tersebut telah menjadi tapak utama ladang babi di negeri ini.  

   

KOMEN 1 – Khinzir-PAS dan Rakyat tertipu

Hari ini PAS hanya mampu membisu dan bersetuju dengan kerajaan PKR yang telah meluluskan ladang pembiakan Khinzir (babi) dengan jumlah peruntukan yang begitu besar sebanyak RM100 juta untuk diternakan di negeri Selangor. Jika dahulu PAS merupakan parti yang paling lantang sekali mengkritik akan isu pembiakkan khinzir (babi) ini kerana ianya pasti akan mencemarkan alam sekitar terutama sekali sungai dan udara yang akan dicemari dengan air najis dan juga udara yang tidak bersih dengan bau najis khinzir (babi).

Pengumuman kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor meluluskan projek mendirikan ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang dianggap mengejutkan dan ditentang orang ramai. 

Bayangkanlah jika peruntukkan sebanyak RM100 juta kepada ladang ternakan ini, berapa banyak khinzir yang akan membiak dan tentu sekali akan memberikan kesulitan kepada penduduk berhampiran dan kepada sungai yang mengalir sepanjang negeri Selangor.

Selain itu juga di khuatiri penyakit JE yang akan merebak, kerana jika terlalu banyak Khinzir, penyakit ini akan mudah merebak. Kerajaan Barisan Nasional pernah menutup dan membunuh banyak Khinzir dan terpaksa menerima tentangan dari penternak Khinzir demi keselamatan rakyat dan kerajaan sanggup menjadi tidak popular dengan penternak Khinzir demi menyalamatkan keadaan yang tidak sihat jika sekiranya ladang-ladang ini dibiarkan bebas tumbuh bagaikan cendawan. Tetapi PKR pula pada pilihanraya yang lalu sanggup berjanji kepada penternak ini supaya mereka akan jadi popular dan meraih undi dari mereka.

Hari ini PKR terpaksa melaksanakan janji yang telah mereka buat untuk meraih undi dari penternak-penternak Khinzir bagi mengundi mereka pada pilihanraya yang lalu. PKR terpaksa menunaikan janji mereka untuk memberikan peruntukan sebanyak RM100 juta seperti yang telah mereka janjikan walaupun apa yang dilakukan oleh PKR adalah bertentangan dari kehendak rakyat negrai Selangor. Inilah hadiah yang paling istimewa terutamanya kepada orang Melayu khusunya ahli PAS yang tertipu dengan PKR di negeri Selangor.

Sebagai kerajaan baru pastinya mereka mahu menunjukkan contoh yang baik tetapi adakah langkah-langkah yang sepatutnya telah diambil kira sebelum mereka meluluskan projek ini, kerajaan negeri sepatutnya memberikan penjelasan yang adil kepada rakyat.

Isu haram bukan lagi isu yang akan disentuh lagi oleh PAS kerana PAS kini berada dalam keadaan dimana mereka hidup untuk memimpin dengan mereka-mereka yang tidak mengenal hukum haram dan halal. PAS terpaksa menyesuaikan diri mereka tanpa menyentuh isu-isu yang sensitif mengenai agama kerana PAS kini bersubahat dan berkongsi kuasa dengan Parti yang tidak mengiktirafkan Islam. Kesemua tiga Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari parti Pas tidak menghalang pelaksanaan projek ladang penternakan babi bernilai RM100 juta di Sepang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berka ta, Pas menyokong projek itu selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

“Kita tidak ada masalah, kita sokong. Kita orang Islam hanya diharamkan daripada memakan daging babi tetapi orang bukan Islam pula mereka makan babi. Itu hak mereka. Kita sangat rasional untuk kegunaan mereka,” katanya.

Ramai yang berpendapat wang RM100 juta itu adalah satu pembaziran kerana ia hanya melibatkan satu bangsa sahaja. Kita tidak septutnya melayan kehendak satu bangsa sahaja kerana wang RM100 juta itu adalah wang rakyat dan termasuk wang kita. Dalam secara tidak sengaja kita juga telah menyumbang dan mebantu mereka untuk membiak Khinzir (Babi).

Kami menyeru agar bangsa Melayu untuk bangun untuk menentang projek kerajaan negeri Selangor ini kerana ianya amat memalukan dan merugikan. Kita tidak seharusnya berdiam diri dan melihat sahaja akan ke pimpinan kita yang kian lupa diri dan melakukan satu tindakan diluar kehendak pengundi yang mengundi mereka dahulu.

PAS tertipu lagi oleh PKR.