jump to navigation

Generasi muda mesti sedar ketuanan Melayu April 16, 2008

Posted by ganulening in Politik, Surat Pembaca.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

TITAH ucapan secara berani Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul baru-baru ini tentang kepentingan perpaduan Melayu adalah isyarat kepada semua pihak bahawa kelangsungan ketuanan Melayu berkait rapat dengan perpaduan bangsa itu sendiri.

Tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain, masa depan Malaysia yang berbilang kaum adalah sangat bergantung kepada perpaduan Melayu. Dalam erti kata lain, perpaduan Melayu adalah teras perpaduan negara.

Sebagai tonggak kedaulatan Melayu, titah Tengku Mahkota Kelantan itu meng- gambarkan kesedaran tokoh muda dalam institusi Raja-Raja Melayu untuk melihat perpaduan di kalangan orang Melayu itu sendiri perlu dipelihara. Ini supaya tiada pihak lain cuba mengambil kesempatan atas sengketa yang berlaku hingga runtuhnya kuasa politik, ekonomi, ketuanan dan kedaulatan Melayu.

Justeru, seluruh lapisan masyarakat sewajarnya memandang serius saranan baginda itu terutama masyarakat Melayu.

Bagi generasi tua, mereka harus bijak mencaturkan negara supaya masa depan bangsa tidak akan hancur akibat kesilapan dalam sebarang tindakan. Manakala generasi muda pula perlu mengetahui dan memahami sejarah bangsa Melayu berabad-abad yang lalu hingga kini.

Generasi muda Melayu perlu mengetahui kepentingan perpaduan, sejarah kejatuhan kerajaan Melayu dan ancaman terhadap ketuanan Melayu yang ada di mana-mana sama ada dari dalam negara, mahupun luar negara.

Lebih-lebih lagi Melayu itu dikaitkan dengan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Maka sudah pasti musuh Melayu, juga adalah musuh Islam yang bersifat sejagat dan senantiasa berusaha menjatuhkan pengaruh Islam.

Cabaran masa depan Melayu yang semakin kompleks memperlihatkan betapa bangsa Melayu perlu bijak dalam mempertahankan ketuanannya.

Bermula dengan institusi raja-raja, diikuti dengan kekuatan politik, ekonomi serta tahap intelektualnya. Jika kita berpadu dalam semua aspek ini, barulah ke- daulatan dan ketuanan itu dapat terpelihara selamanya.

Namun, apakah generasi muda mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang secukupnya dalam semua aspek ini? Inilah persoalan yang amat membimbangkan kerana orang Melayu sebenarnya masih belum bersedia untuk menerima keadaan seandainya ketuanan mereka hilang sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Senario pascapilihan raya umum lalu telah memberi ruang yang begitu besar untuk bangsa Melayu memikirkan, mampukah mereka mempertahankan ketuanan pada masa depan.

Kesan Pilihan Raya Umum Ke-12 memperlihatkan tragedi kepada orang Melayu yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini.

Orang Melayu menunjukkan protes dalam pilihan raya akibat kemarahan, rasa tidak puas hati dengan kepimpinan politik Melayu.

Penubuhan sesetengah kerajaan negeri juga belum tentu memberi kuasa mutlak kepada orang Melayu.

Akibatnya terdapat tindakan dan keputusan yang menggugat keselesaan orang Melayu. Krisis dalam UMNO yang pernah menjadi wadah utama perjuangan Melayu kelihatan kian menebal sehingga menjadi tatapan buaya di air tenang.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh lagi menyingkap punca perpecahan dan perbalahan Melayu itu sendiri.

Sebaliknya Melayu yang masih berkuasa perlu menyusun strategi dan bertindak segera memperbaiki keadaan. Jika kita terpaksa berkorban demi perpaduan Melayu, maka pengorbanan itu mesti dilakukan.

Melayu di Malaysia perlu melihat sedalam-dalamnya rumpun Melayu di negara sekelilingnya.

Apa yang pasti, sebesar mana jumlah mereka sekalipun, mereka didominasi oleh orang lain. Amat sukar untuk diperbetulkan kerana tindak-tanduk mereka akan menggunakan apa jua kelicikan, kebijaksanaan, malah kekerasan sekalipun untuk mendominasi pemerintahan. Kuasa yang terlepas belum tentu dirampas semula dalam tempoh yang singkat.

Maka adalah sewajarnya lontaran titah Tengku Mahkota Kelantan itu diberi perhatian serius, dikupas dan diambil tindakan segera walau dengan apa cara se- kalipun.

Kepada semua orang Melayu yang darah keturunannya adalah Melayu sebenar, tatapi dan kenangilah anak cucu dan generasi akan datang supaya Melayu itu benar-benar menjadi tuan di tanah air sendiri.

NORDIN ABDUK MALEK

Ipoh, Perak.

Khalid Ibrahim – Talam dua muka April 15, 2008

Posted by ganulening in Surat Pembaca.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah ‘memutarbelitkan’ bantahan orang ramai ke atas keputusan kerajaan negeri itu membuka ladang babi seperti yang diumumkan oleh Teresa Kok.

Yang dibantah orang ramai ialah pemilihan tempat dan skala ladang babi yang dicadangkan itu.

Pemodenan ladang babi yang dicadangkan itu ialah satu pendekatan yang amat baik bagi menangani masalah pencemaran yang umum ketahui cara pengendalian ladang babi masa kini amatlah kotor sekali.

Tiga opsyen yang kini ditimbulkan oleh Menteri Besar hanya satu permainan politik sahaja untuk meredakan bantahan orang ramai ke atas keputusan Kerajaan Selangor itu.

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam menerima kenyataan bahawa daging babi ialah makanan mereka yang bukan Islam.

Sebab itu tidak ada bantahan ke atas penjualan daging babi di pasar awam atau pasar raya asalkan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Di Jerman, di sebalik pengurusan ladang babi itu menggunakan teknologi tinggi, tapaknya terletak jauh dari kawasan penempatan awam.

Pencemaran bau yang tidak selesa masih lagi wujud.

Selain itu pelepasan air kumbahan dari ladang babi ini walaupun sudah dirawat juga adalah satu persoalan yang perlu diselesaikan oleh pihak yang berkuasa khususnya Majlis Agama Islam Selangor. Inilah yang sebenarnya kekhuatiran yang disuarakan oleh rakyat.

Oleh itu sebagai menjaga kepentingan rakyat dan kebaikan serta keharmonian rakyat negeri Selangor, saya cadangkan Kerajaan Selangor melaksanakan pendekatan berikut:

(a) Tempatkan tapak ladang babi moden yang dicadangkan jauh dari kawasan penempatan awam khususnya kawasan mereka yang beragama Islam;

(b) Kecilkan skala ladang babi hanya untuk memenuhi permintaan domestik sahaja khususnya di negeri Selangor. Jangan jadikan negeri Selangor sebagai negeri pengeksport daging babi;

(c) Jangan jadikan pembukaan ladang babi ini untuk meraih sokongan politik da- ripada satu kaum tertentu;

(d) Jalankan kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan buka hasil kajian kepada orang ramai;

(e) Semua keputusan yang berkaitan dengan ladang babi ini hendaklah dibuat secara telus khususnya pembiayaan pelaburan yang berjumlah RM100 juta, jumlah dan pemilihan penternak yang terlibat, taraf pemilikan tanah yang akan diberi kepada penternak dan keluasan kawasan serta jumlah daging babi yang akan dikeluarkan serta sasaran pasaran.

Cadangan untuk menggunakan pakar-pakar luar negeri untuk membuat kajian yang menyeluruh adalah dialu-alukan untuk menambah baik lagi pengurusan ladang babi yang dicadangkan ini. Kajian ini hendaklah juga mengambil kira faktor tempatan.

SHAMSURI ATRABI

Subang Jaya

Hairan sikap Pas berubah April 4, 2008

Posted by ganulening in Surat Pembaca.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

 

TERTARIK dengan ulasan yang diberikan oleh Ketua Bahagian UMNO Lumut, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bahawa sebelum pilihan raya umum, Pas mengeksploitasikan isu seperti haram bagi orang Islam memilih pemimpin daripada kalangan bukan Islam.

Beliau berkata, dua hari sebelum pembuangan undi pada 8 Mac lalu, petugas Pas mengedarkan beribu-ribu risalah di masjid dan surau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang yang ditandingi calonnya, Mohammad Nizar Jamaluddin.

Katanya, risalah itu memetik fatwa daripada muzakarah ulama yang mengatakan haram bagi orang Islam memilih calon bukan Islam, iaitu Dr. S Vasan daripada MIC yang mewakili BN.

Tetapi, apabila sudah berjaya menjadi kerajaan, Mohammad Nizar mengatakan beliau Menteri Besar untuk semua kaum. Sekarang baru kita nampak wajah sebenar mereka. Bagaimana pula undi bukan Islam kepada Pas? Halal ke haram?

Bagi saya persoalan paling besar hari ini ialah di manakah kedudukan orang bukan Islam di kaca mata Pas? Bagaimanakah kedudukan orang bukan Islam sekiranya mereka turut sama menyokong dan mengundi Pas?

Adakah bagi Pas, hendak masuk syurga begitu mudah, hanya perlu menyokong atau mengundi Pas sahaja? Jadi apa sebenarnya tujuan Pas menubuhkan Kelab Penyokong Pas yang mana rata-ratanya bukan orang Islam. Abdul Hadi dengan bangganya melancarkan Kelab Penyokong Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 dengan harapan untuk menarik undi bukan Islam. Tidak haram ke?

Bila UMNO buat dituduh kafir tetapi bila Pas buat tidak mengapa asalkan dapat undi. Hina sangat ke UMNO kepada Pas yang mana rata-ratanya beragama Islam. Bangga sangat ke Pas dengan Kelab Penyokong Pas mereka yang rata-ratanya bukan Islam.

Adakah ini mengikut kehendak Islam? Sebenarnya, bukan hanya ahli Pas yang keliru dengan fatwa politik sebegini, malah para pemimpin Pas sendiri sudah berkecamuk kerana terlalu banyak fatwa politik dipersoalkan semula oleh ahli.

Tuduhan

Tetapi dalam konteks hari ini dan demi menyelamatkan akidah orang Islam, khususnya para pengikut Pas yang tidak mampu berfikir dan bersikap ‘apa yang dikatakan oleh tok guru adalah betul’, maka Abdul Hadi dan Nik Aziz perlu menjawab persoalan berhubung tuduhan yang menganggap UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC sebagai kafir.

Persoalan ini menjadi lebih penting dijawab hari ini apabila dalam tahun 1995, terdapat laporan dari Tumpat, Kelantan yang menyebut seorang pemimpin Pas berkata, orang yang beragama Islam tidak boleh mengundi calon dari kalangan bukan Islam dalam pilihan raya kerana ia bertentangan dengan kehendak Islam.

‘‘Usahkan orang bukan Islam, orang Islam pun kalau tidak turut Islam tidak boleh undi, malah orang Islam pun kalau dia bawa dasar yang bukan Islam, rakyat tidak boleh mengundinya,” kata laporan itu.

Maka timbul tanda tanya yang tidak pernah Pas jawab: ‘‘Bagaimana pula kerjasama yang pernah terjalin antara Pas, Keadilan dan DAP sebelum ini? Dan bagaimana pula dengan usaha Pas terutama di Kelantan dan Terengganu yang begitu bersungguh-sungguh mahu mendapat sokongan dan kerjasama pengundi Cina?

Adakah hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC sahaja termasuk dalam kategori tuduhan Pas iaitu kafir tetapi Pas yang mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang dikecualikan?

Mungkin itu sebabnya Abdul Hadi boleh berpelukan dengan Lim Kit Siang, pemimpin yang secara terbuka menentang penubuhan negara Islam Pas. Adalah malang bagi pengikut parti itu yang mempercayai fatwa seperti ini, yang hanya bermatlamatkan politik dan kejayaan dalam pilihan raya.

Orang kampung boleh dianggap sebagai kumpulan yang tertutup minda kerana sikap percayakan tok guru sahaja, tidak baca akhbar atau majalah dan mengehadkan pergaulan kepada kelompok mereka sahaja, tetapi bagaimana pula dengan cerdik pandai dan golongan profesional yang menyokong Pas?

Adakah mereka juga menjadi golongan taksub sehingga tidak mampu berfikir? Mereka mungkin menyokong sebagai satu eskapisme akibat persoalan hati – mungkin merajuk, mungkin marah, mungkin kecewa dan mungkin juga gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati – tetapi tidakkah boleh mereka fikirkan soal percanggahan dan keanehan fatwa yang dibawa oleh Pas? Sebenarnya, terdapat terlalu banyak kecelaruan dalam Pas.

Selain fatwa politik yang dibawa, pemimpin parti itu telah banyak lupa apa yang dikata dan lakukan.

Ketika berbaik dengan DAP, Pas tanpa segan silu sengaja melupakan tentang isu kafir yang dilemparkan kepada UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC. Dan apabila tidak lagi bersekongkol dengan DAP, Abdul Hadi pula lupa yang dia pernah berpelukan dengan Kit Siang hingga sanggup menyifatkan pemimpin tertinggi DAP sebagai ‘sudah luput masa’ dan tidak lagi sesuai untuk menonjolkan diri bertanding dalam pilihan raya lalu.

Tetapi apabila Karpal Singh dan Lim Kit Siang menang keadaan berubah dan kini kedua-duanya adalah kawan baik Abdul Hadi.

Satu soalan kepada pemimpin-pemimpin Pas yang menganggap diri mereka terlalu Islam. Apakah hukumnya bekerjasama dengan DAP dan PKR. Halal ke haram? Ingatlah PKR tidak memperjuangkan Islam. Lihatlah barisan pemimpin-pemimpin mereka.

Perjuangan mereka sebenarnya tidak jelas. Banyak kepada politik berdendam dan perjuangan individu. Jangan disebabkan ketamakan hendak berkuasa hingga sanggup menjual maruah agama Islam itu sendiri.

– TAMINGSARI,

Shah Alam.