jump to navigation

Segerakan muafakat parti politik Melayu April 17, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Langkah permuafakatan parti-parti politik Melayu perlu dilakukan dengan segera dan tidak ditangguhkan terlalu lama kerana sebarang penangguhan akan hanya merugikan orang Melayu.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman berkata, permuafakatan itu perlu dilakukan segera lebih-lebih lagi dalam pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 ketika ini.

“Satu kaedah perlu dicari bagi membolehkan semua pihak merumuskan formula kerjasama yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, muafakat antara parti-parti politik itu adalah perkara yang terpenting sekali untuk kelangsungan seluruh umat Melayu ketika ini.

“Parti-parti Melayu perlu bersifat melengkapi antara satu sama lain walaupun mereka berbeza ideologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang mahu menggerakkan usaha bagi mewujudkan permuafakatan antara UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob pula berkata, sekarang bukan masanya untuk kaum Melayu berpecah-belah atas nama politik.

“Kelangsungan Melayu sendiri kini dalam keadaan yang sukar untuk diramal, sikap berpecah-belah hanya akan merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha bersepadu dan tulus daripada lubuk hati perlu dimulakan oleh semua pihak agar muafakat untuk mempertahankan hak orang Melayu dapat dilakukan.

Tanpa tindakan seumpama itu katanya, semua yang diperkatakan akan hanya tinggal satu bentuk retorik sahaja.

Beliau juga mencadangkan agar sebarang usaha muafakat untuk mempertahankan hak orang Melayu tidak menyentuh sensitiviti kaum lain di negara ini.

Parti politik Melayu perlu pertahan hak Melayu April 17, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Parti-parti politik Melayu tidak seharusnya terlalu ghairah berpolitik sehingga mengabaikan kepentingan kaum sendiri.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, parti-parti berkenaan perlu bersatu padu bagi menyelamat orang Melayu dan sekali gus negara ini.

Ini kerana, kata beliau, pertubuhan itu mendapati terdapat unsur perkauman yang tebal pada pilihan raya lalu.

“Pada ketika ini, beberapa parti politik Melayu pula nampak ghairah dengan kemenangan yang diperoleh, tetapi kelihatan mereka tidak memegang kuasa secara mutlak, mereka seolah-olah ditunggangi kepentingan yang lain bukannya kepentingan Melayu.

“Jika keadaan ini berlanjutan ia akan memusnahkan bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, parti politik Melayu terutama UMNO pula terpaksa menjadi pemimpin nasional, sehingga tidak dapat memberi perhatian kepada masalah bangsa sendiri.

Sehubungan itu, katanya, Gapena akan mengadakan Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru pada 2 dan 3 Mei ini tanpa penyertaan langsung ahli-ahli politik Melayu.

“Kami rasa perlu ada institusi lain untuk menjaga perihal kemelayuan dan kongres ini diharap diiktiraf oleh semua parti politik Melayu serta bangsa Melayu umumnya,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norza Zakaria berkata, pihaknya mengadakan perbincangan tidak rasmi melibatkan tiga parti terbesar mewakili kaum Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang permuafakatan untuk mempertahankan hak serta hala tuju orang Melayu.

UMNO-Pas-PKR akan bincang pertahan hak Melayu April 16, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR 15 April – Satu perbincangan tidak rasmi melibatkan tiga parti terbesar mewakili kaum Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan bagi memperhalusi cadangan permuafakatan untuk mempertahankan hak serta hala tuju orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau sendiri akan mengambil langkah permulaan untuk mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin pembangkang bagi menghalusi cadangan permuafakatan kaum Melayu.

Katanya, kesanggupan semua parti secara dasarnya untuk bermuafakat adalah langkah pertama yang harus disusuli dengan pertemuan untuk bertukar-tukar pendapat.

Langkah itu ujarnya, amat perlu untuk mengenal pasti asas penting sebelum menganjurkan sebarang cadangan ke peringkat yang lebih tinggi di pihak masing-masing.

“Permuafakatan merupakan satu cabaran kepada kita orang Melayu dan ini bukan satu usaha yang mudah dalam memastikan matlamat itu tercapai.

“Namun usaha kolektif pemimpin UMNO, Pas dan PKR adalah perlu agar tamadun orang Melayu dapat berkembang sealiran dengan tamadun bangsa lain di dunia,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini, melaporkan Pas dan PKR bersetuju untuk bermuafakat dengan UMNO dalam mempertahankan hak serta membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini.

Mereka juga meminta agar permuafakatan itu dapat dibentuk dalam tempoh panjang demi memelihara kepentingan bersama.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata, permuafakatan membawa maksud yang amat baik tetapi ia perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip keadilan sesama Melayu dan kaum-kaum lain.

Katanya, pemimpin UMNO terlebih dahulu perlu jelas terhadap prinsip-prinsip kesaksamaan itu supaya mereka sendiri tidak mewujudkan jurang antara Melayu dengan Melayu atau Melayu dengan bukan Melayu.

Norza berkata, permuafakatan harus dibuat dalam kerangka yang sihat dalam struktur masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.