jump to navigation

Parti politik Melayu perlu pertahan hak Melayu April 17, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Parti-parti politik Melayu tidak seharusnya terlalu ghairah berpolitik sehingga mengabaikan kepentingan kaum sendiri.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, parti-parti berkenaan perlu bersatu padu bagi menyelamat orang Melayu dan sekali gus negara ini.

Ini kerana, kata beliau, pertubuhan itu mendapati terdapat unsur perkauman yang tebal pada pilihan raya lalu.

“Pada ketika ini, beberapa parti politik Melayu pula nampak ghairah dengan kemenangan yang diperoleh, tetapi kelihatan mereka tidak memegang kuasa secara mutlak, mereka seolah-olah ditunggangi kepentingan yang lain bukannya kepentingan Melayu.

“Jika keadaan ini berlanjutan ia akan memusnahkan bangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, parti politik Melayu terutama UMNO pula terpaksa menjadi pemimpin nasional, sehingga tidak dapat memberi perhatian kepada masalah bangsa sendiri.

Sehubungan itu, katanya, Gapena akan mengadakan Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru pada 2 dan 3 Mei ini tanpa penyertaan langsung ahli-ahli politik Melayu.

“Kami rasa perlu ada institusi lain untuk menjaga perihal kemelayuan dan kongres ini diharap diiktiraf oleh semua parti politik Melayu serta bangsa Melayu umumnya,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Norza Zakaria berkata, pihaknya mengadakan perbincangan tidak rasmi melibatkan tiga parti terbesar mewakili kaum Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentang permuafakatan untuk mempertahankan hak serta hala tuju orang Melayu.