jump to navigation

Pas tak minat bincang dengan UMNO – Husam Musa April 19, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini membayangkan parti itu tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai ketuanan Melayu.

Beliau berkata, isu ketuanan Melayu tidak perlu diperbesarkan memandangkan masih banyak negeri dipimpin orang Melayu.

“Ketuanan Melayu ini tiada masalah. Yang jadi Menteri Besar Kedah, Perak, Selangor ialah orang Melayu. Perdana Menteri pun Melayu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai ketuanan Melayu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan pemimpin-pemimpin muda UMNO supaya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perbincangan dengan UMNO untuk membincangkan masa depan ketuanan Melayu.

Husam berkata, beliau tidak yakin PKR, Pas dan UMNO dapat mencapai kata sepakat dalam hal tersebut.

Sekiranya UMNO benar-benar serius hendak mencari kesepakatan, adakah parti itu bersedia memberi Pas mengendalikan perbincangan tersebut, ujarnya.

“Kami tidak menentang perpaduan Melayu tetapi kami tidak akan terperangkap sekali lagi,” katanya.

Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Salor, Kelantan turut menasihati wakil rakyat Pas supaya menghargai sokongan rakyat sehingga membolehkan mereka menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Beliau berkata, wakil rakyat harus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat bagi memastikan sokongan terus rakyat kepada parti itu.

Hasrat Anwar tak akan jadi kenyataan April 18, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini, Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru tidak akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut beliau, cadangan untuk membentuk sebuah kerajaan baru oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertujuan untuk memfokuskan pandangan orang ramai daripada isu tertentu sahaja.

”Anwar buat ramalan tiap-tiap minggu tapi satu pun tak tepat, dia tak berubah dari dulu.

”Kita sebenarnya kena catat ramalan ini, banyak yang dia cakap tak jadi kenyataan, bila tak jadi kenyataan orang lupa dan ramalan lain diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Isu-isu Semasa oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, apa yang penting Barisan Nasional (BN) tidak mengikut rentak yang dimainkan oleh pembangkang sebaliknya mengikut rentak parti itu sendiri.

Anwar sebelum ini berkata, pembangkang akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan melompat keluar parti dan menyertai PKR bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, Pemuda UMNO akan memberikan peluang kepada semua ahlinya untuk membangkitkan soalan-soalan bagi melancarkan proses pemulihan di dalam sayap UMNO itu.

”Kita mendengar pandangan dan menjawab soalan yang dibangkit oleh ahli, bukan sahaja peringkat kepimpinan tetapi ruang kepada ahli jawatankuasa Pemuda untuk menyumbang kepada proses kumpul maklumat dan memberi kesempatan kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam usaha pemulihan.

”Dalam proses berkenaan, kita lihat ahli di peringkat jawatankuasa bahagian dan cawangan begitu peka dan prihatin mengenai perkembangan politik semasa serta faham tuntutan cita rasa orang ramai di luar sana,” katanya.

Tambahnya, apa yang perlu diambil kira dalam mengorak langkah ke depan ialah memastikan perubahan itu dapat dihayati oleh kepimpinan Pemuda supaya Pemuda sentiasa relevan dan ahli-ahlinya tidak berputus asa.

Pemuda UMNO, juga katanya bertekad supaya semua perbuatan tuding menuding antara satu sama lain perlu dihentikan kerana apa yang penting ketika ini ialah melakukan kerja dan memikirkan strategi untuk melaksanakan proses membina semula perjuangan.

”Kita perlu berhenti membawa isu dalaman UMNO melalui perbincangan secara terbuka kerana sekarang telah masuk tempoh sebulan setengah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

”Justeru, ahli-ahli pergerakan ini percaya tindakan konkrit ke arah pembinaan dan transformasi sayap kita sendiri perlu dilakukan,” katanya.

Pakatan Rakyat Akan Menerima Ideologi Negara Islam – Nik Aziz April 15, 2008

Posted by ganulening in Politik.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

 

 

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan menerima ideologi Negara Islam.

 

Dalam temubual dengan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa Islam digelapkan oleh penjajah Barat dari Malaysia lebih seabad lamanya, dan dipelekeh sebagai ugama yang negatif.


Beliau berkata filem anti Islam ‘Fitna’ yang diterbutkan oleh ahli palimen Geert Wilders adalah contoh bagaimana Barat memburukkan Islam.


Beliau berkata Pakatan Rakyat perlukan masa untuk menerima ideology Negara Islam. Justeru itu, beliau menggesa pimpinan DAP datang ke Kelantan untuk melihat sendiri apa sebenarnya Islam; untuk cuba mencari apa yang kurangnya pada negeri Kelantan dan beritahu beliau apa kecacatannya pada Islam ?

 

”Adakah mereka benar-benar bermasalah dengan Islam?,
”Adakah saya merampas lesen kaum Cina kerana saya orang Islam?,
”Atau saya menghalau kaum Cina keluar dari Kelantan atas nama Islam?,” tanya Nik Aziz.


”I persilakan mereka (pimpinan DAP) untuk datang melawat ke Kelantan,
”(mereka) tidak perlu datang jumpa saya, tapi jumpa orang Cina, India dan Siam,
”biar mereka yang bercakap sekiranya saya melakukan kesilapan (sekiranya ada),” tegasnya lagi.


Beliau berkata kerajaan Kelantan telah pun meluluskan Hudud ketika Kelantan ditadbir oleh gabungan PAS-Semangat 46 pada awal 90an.


Beliau menyatakan demikian selaras dengan kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, yang menyatakan bahawa ideology Islam boleh dilaksanakan, namun beberapa aspek kontrovesi seperti Undang-undang Hudud akan diketepikan.

 

“PAS hanya boleh meluluskannya (Hudud), tetapi tidak ada kuasa dan hak untuk melaksanakannya,
”Dalam perbicaraan di bawah Undang-undang Hudud, para hakim akan membuat keputusan berdasarkan hujah kedua-dua pihak, pendakwa dan pembela.

 

”Perbicaraan Hudud tidak ada bezanya dengan perbicaraan Undang-undang Jenayah Sivil, namun ia tidak juga boleh dilaksanakan” kata beliau.

 


Dalam temubual tersebut, Nik Aziz menyentuh beberapa isu, antaranya:

 

Judi
Dia menggesa orang bukan Islam, khususnya Cina di Kelantan, melupakan tentang judi kerana kerajaan Kelantan tidak akan membenarkan perjudian.


Katanya orang Cina tidak boleh bergantung kepada judi sebagai usaha untuk menjadi kaya, bahkan mereka sepatutnya mereka meningkat usaha perniagaan.


“Orang Cina pandai berniaga. Carilah kehidupan daripada usaha perniagaan, samada berniaga runcit, makanan dan minuman, kain baju, buah-buahan, hasil petyanian dan sebagaianya,
”Juallah apa sahaja, tapi jangan berjudi,” tegas beliau.

 

Pengganti
Nik Aziz senaraikan tiga nama, Timbalannya Dato’ Ahmad Yakob, Exco kanan, Dato’ Husam Musa dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah sebagai calon-calon yang akan menggantikannya sebagai Menteri Besar.

 

Perdana Menteri

Nik Aziz tidak akan menyuruh Datuk Seri Abdullah Badawi untuk meletakkan jawatan, kerana menurutnya ia adalah merupakan ‘serangan peribadi’. Respon beliau kepada desakan supaya Pak Lah meletakkan jawatan yang dibuat oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, Nik Aziz berkata “ Ia adalah hal rumah tangga UMNO, terpulang kepada mereka nak selesaikan sendiri”.

 


MCA, Gerakan dan MIC

Nik Aziz bersetuju dengan pandangan (sesetengah orang) tiga parti komponen itu patut meninggalkan BN. Beliau percaya sekiranya mereka meninggalkan BN, mereka boleh bergabing dengan Pakatan Rakyat tanpa menunggu jemputan.


Sokongan kaum Cina

Beliau berkata scenario politik telah banyak bertukar dan orang Cina telah mengundi PAS, orang Melayu menyokong DAP dan orang India menyokong kedua-duanya.
 
Semua berkongsi matlamat yang sama, untuk menolak UMNO.

 

Beliau berkata, beliau mahu mengucapkan terimas kasih kepada sokongan orang Cina.
”Sebenarnya saya nak rapat dengan orang Cina, kecuali mereka tidak menerima tidak menerima saya”.

 

Diterjemahkan secara bebas dari akhbar The Sun Penulis asal adalah : Kong See Hoh

Negara Islam bukan agenda Pakatan – Husam Musa April 9, 2008

Posted by ganulening in Rencana.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

 

Agenda negara Islam tidak menjadi sebahagian inti Pakatan Rakyat tetapi sekadar idealisme ahli-ahli PAS, kata naib presiden parti itu Datuk Husam Musa.

“Pada zaman nabi Muhammad, tidak secara jelas menyebut negara Islam. Perdebatan tentang istilah ini boleh mengelirukan. Pada pendapat saya, kita perlu mencari istilah yang lebih disenangi atau dapat difahami oleh masyarakat ramai.

“Oleh kerana negara Islam sebagai idealisme (PAS), maka ia memberikan satu panduan kepada petugas-petugas PAS,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam. 

Beliau diminta mengulas kontroversi awal penubuhan Pakatan Rakyat minggu lalu susulan kenyataan timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang dilaporkan berkata “PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam.”

Husam, yang juga exco kanan kerajaan PAS itu, berkata intipati perjuangannya termasuklah tadbir urus yang Islamik seperti amanah, telus, adil dan saksama, tidak mendiskriminasi, membantu yang lemah dan prihatin.

“Prinsip-prinsip tadbir urus ini lebih mustahak kerana keadaan negara  hari ini – rasuah yang melanda, penghakisan (kebebasan) dalam badan kehakiman, kebebasan bersuara, kebebasan beragama,” katanya.

“Idealisme negara Islam harus diteruskan oleh ahli-ahli PAS tetapi PAS juga telah menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai kerangka utama untuk bergerak.

“Saya ingat (penerimaan) ini satu jaminan kepada pemimpin-pemimpin kanan seperti Karpal Singh bahawa tidak ada perubahan (yang berbeza) di luar imaginasi mereka.”

Isu negara Islam, tambahnya, sering mengelirukan kerana model yang ada kini seperti Iran, Arab Saudi, Bangladesh mencipta tanggapan berbeza-beza kepada banyak orang.

“Untuk melawan gejala rasuah, apakah asas tindakan anda? Jadi, bagi ahli-ahli PAS, ajaran Islam (sebagai asasnya).

“Anda mesti menjadi seorang pemimpin yang bersih, bertanggungjawab, telus, dan ini semua preskripsi untuk tadbir urus yang juga Islamik. Jika anda tidak mempunyai (asas) ini, anda hanya seumpama pemimpin Umno.”

Menurut Husam lagi, Pakatan Rakyat membenarkan ketiga-tiga parti pembangkang berada dalam satu platform dan terpulang kepada parti masing-masing menentukan parameter utama pakatan tersebut.

“Khususnya berkaitan tadbir urus, termasuk kerajaan yang bersih, adil, memberi peluang sama rata, mengambil berat kumpulan miskin dan tertinggal, mengutamakan kebajikan, menguruskan (wang) negara secara berhemah, dan dengan itu mengelakkan pembaziran, melaksanakan amalan tender terbuka – ini akan banyak membantu negara kita berada atas landasan yang betul,” katanya.

“Dan inilah yang telah hilang – kemandirian badan kehakiman, kebebasan bersuara, agenda moral untuk generasi muda, menurunkan kadar jenayah, masalah penyalahgunaan dadah, – inilah agenda-agenda negara yang juga selari dengan ajaran Islam. Tidak ada pertentangan di sini.

“Jika kita membincangkan (isu) PAS sebagai tunjang Pakatan Rakyat, ia mestilah selepas penerimaan orang ramai, bukan dengan cara  mendakwa ‘saya (PAS) tunjang (Pakatan)’ tetapi mestilah melalui penerimaan awam, dan inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah,” katanya.

Pakatan, nama awal yang masih di peringkat cadangan, diumumkan 1 April lalu kini menunggu keputusan muktamad daripada setiap satu daripada tiga parti pembangkang itu.

Keputusan menubuhkannya dibuat dalam satu perjumpaan awal minggu lepas yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

Semalam Ahmad dilaporkan menafikan bertegas PAS harus menjadi “tunjang” pakatan itu dan melahirkan rasa kesal pada laporan-laporan media yang dianggapnya “menyimpang daripada kenyataan asalnya” mengenai isu tersebut.