jump to navigation

Bersatulah orang Melayu April 20, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

“Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat ‘berkerat rotan, berpatah arang’. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca.’’

Demikianlah titah Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah di Ipoh, semalam. Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan orang Melayu di negara ini mendengar suara dari istana yang melahirkan kegusaran mengenai perpaduan orang Melayu.

Hakikatnya, sukar untuk diperkatakan apakah mesej-mesej dari istana ini benar-benar dihayati oleh pemimpin- pemimpin Melayu atau tidak, tetapi apa yang pasti sehingga ke hari ini, usaha untuk menyatukan orang Melayu masih menemui jalan buntu.

Apa yang malang walaupun pilihan raya umum lalu membuktikan cengkaman politik Melayu semakin rapuh berikutan perpecahan akibat perbezaan ideologi politik, namun orang Melayu masih belum sedar.

Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, berakhir begitu sahaja tanpa sedikit pun menyedarkan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka berada dalam satu kapal yang sama.

Sebaliknya, kita terus mendengar suara sumbang dan ia termasuklah komentar-komentar dalam blog yang seolah-olah tidak mahu melihat perpaduan Melayu itu menjadi kenyataan. Kesudahan usaha menyatukan orang Melayu masih lagi belum nampak jalan penyelesaian.

Suatu ketika, harapan agak terbuka apabila tiga pemimpin politik muda iaitu Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria bercakap dalam nada yang sama iaitu bersetuju untuk bermuafakat dalam mempertahankan hak dan membincangkan hala tuju orang Melayu.

Terbuka

Tetapi malangnya, suara-suara muda ini tidak disambut oleh pemimpin-pemimpin yang lebih senior. Malahan ada sesetengah pemimpin berkenaan beranggapan sekarang bukannya masa untuk membincangkan ketuanan Melayu. Ini jelas apabila Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa membayangkan parti itu tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai ketuanan Melayu.

Alasan Husam ialah isu ketuanan Melayu tidak perlu diperbesarkan memandangkan masih banyak di negeri dipimpin oleh orang Melayu dan Perdana Menteri pun orang Melayu.

Mungkin Husam mempunyai alasan tetapi, soal yang diperbincangkan bukan sekadar orang Melayu menjadi menteri besar atau Perdana Menteri tetapi lebih daripada itu ialah menyatukan orang Melayu di bawah satu payung.

Kalaulah dengan membenarkan Pas mengendalikan perbincangan mengenai perpaduan Melayu boleh mendorong Pas ke meja rundingan, kita fikir UMNO sudah tentulah tidak ada masalah.

Apa yang penting bukan siapa yang mengendalikan majlis tetapi lebih utama hasil perbincangan berkenaan.

Kita harus berfikiran terbuka dalam soal ini dan tidak menganggap pilihan raya umum lalu seolah-olah meletakkan mana-mana parti terdesak untuk bercakap soal perpaduan Melayu.

Sebaliknya, anggaplah keputusan pilihan raya umum sebagai hikmah daripada Allah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa mereka sudah teruk berpecah belah.

Jika sebelum ini, perpecahan orang Melayu hanya berkisar kepada UMNO dan Pas sahaja tetapi kini ia sudah melibatkan satu lagi kelompok iaitu PKR.

Ia bermakna orang Melayu terpecah kepada tiga puak terbesar, namun seandainya keangkuhan PKR tidak boleh diruntuhkan bagi menyatukan orang Melayu tumpuan harus diberikan kepada UMNO dan Pas.

Ini kerana sejak dulu lagi, pelbagai usaha dilakukan bagi menyatukan orang Melayu dalam kedua-dua parti berkenaan.

Bagi pemimpin UMNO, mereka mungkin tiada masalah dan sentiasa bersedia dengan lapang dada untuk mengadakan pertemuan tetapi bagaimana dengan Pas.

Ramai yakin pemimpin-pemimpin Pas juga mempunyai semangat yang tinggi untuk menyatukan orang Melayu tetapi kadangkala ‘ketaksuban’ kepada pegangan ideologi politik menjadi penghalang.

Bagaimanapun kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa parti itu bersedia berbincang dengan UMNO mengenai soal muafakat Melayu telah menunjukkan bahawa masih ada cahaya di hujung terowong.

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapakah perpaduan Melayu dikaitkan dengan UMNO dan Pas sahaja, bagaimana dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu lain.

Sebenarnya, kalau kita mahu menyatukan orang Melayu, faktor paling utama ialah meletakkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas di satu meja rundingan.

Apabila ini berlaku sudah pastilah laluan lain untuk menyatukan orang Melayu akan menjadi mudah.

Kita sentiasa percaya dalam sebuah negara demokrasi, adalah menjadi hak kepada mana-mana juga individu untuk menyokong mana-mana parti tetapi mereka juga harus memikirkan kepentingan bangsa dan agama mereka.

Kalau orang Melayu terus taksub dengan pegangan politik masing-masing sehingga sanggup menolak salam perpaduan Melayu kerana bimbang hilang sokongan politik daripada parti kaum lain, ia sudah tentulah sesuatu yang mendukacitakan.

Ideologi

Perpaduan Melayu bukanlah kita meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya ia juga adalah demi faedah seluruh rakyat Malaysia.

Orang Melayu adalah kaum majoriti, oleh itu jika mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah sudah pasti ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak.

Tetapi kalau orang Melayu bergaduh sesama sendiri dan melakukan tindakan seperti demonstrasi jalanan semata-mata kerana ideologi politik, ia sudah tentulah akan menggugat kehidupan kaum lain.

Oleh itu, kaum lain tidak perlu merasa gundah-gulana apabila orang Melayu bersatu, sebaliknya mereka perlu berterima kasih.

Apa yang penting semua pemimpin Melayu terutama Pas dan PKR haruslah ikhlas. Mereka harus bersedia berunding dengan UMNO dan mengatur langkah bagi memastikan hak serta ketuanan Melayu terus terpelihara.

Janganlah mana-mana pihak merasa angkuh oleh kerana menang besar dalam pilihan raya, mereka tidak perlu lagi bercakap soal perpaduan Melayu.

Ingatlah pesan Raja Dr. Nazrin Shah, “masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah dan berselisih hingga akhirnya, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu’’ kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan amat menekan aspek perdamaian.’’

Semoga titah ini akan memberi kesedaran kepada kita semua.

Generasi muda mesti sedar ketuanan Melayu April 16, 2008

Posted by ganulening in Politik, Surat Pembaca.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

TITAH ucapan secara berani Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul baru-baru ini tentang kepentingan perpaduan Melayu adalah isyarat kepada semua pihak bahawa kelangsungan ketuanan Melayu berkait rapat dengan perpaduan bangsa itu sendiri.

Tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain, masa depan Malaysia yang berbilang kaum adalah sangat bergantung kepada perpaduan Melayu. Dalam erti kata lain, perpaduan Melayu adalah teras perpaduan negara.

Sebagai tonggak kedaulatan Melayu, titah Tengku Mahkota Kelantan itu meng- gambarkan kesedaran tokoh muda dalam institusi Raja-Raja Melayu untuk melihat perpaduan di kalangan orang Melayu itu sendiri perlu dipelihara. Ini supaya tiada pihak lain cuba mengambil kesempatan atas sengketa yang berlaku hingga runtuhnya kuasa politik, ekonomi, ketuanan dan kedaulatan Melayu.

Justeru, seluruh lapisan masyarakat sewajarnya memandang serius saranan baginda itu terutama masyarakat Melayu.

Bagi generasi tua, mereka harus bijak mencaturkan negara supaya masa depan bangsa tidak akan hancur akibat kesilapan dalam sebarang tindakan. Manakala generasi muda pula perlu mengetahui dan memahami sejarah bangsa Melayu berabad-abad yang lalu hingga kini.

Generasi muda Melayu perlu mengetahui kepentingan perpaduan, sejarah kejatuhan kerajaan Melayu dan ancaman terhadap ketuanan Melayu yang ada di mana-mana sama ada dari dalam negara, mahupun luar negara.

Lebih-lebih lagi Melayu itu dikaitkan dengan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Maka sudah pasti musuh Melayu, juga adalah musuh Islam yang bersifat sejagat dan senantiasa berusaha menjatuhkan pengaruh Islam.

Cabaran masa depan Melayu yang semakin kompleks memperlihatkan betapa bangsa Melayu perlu bijak dalam mempertahankan ketuanannya.

Bermula dengan institusi raja-raja, diikuti dengan kekuatan politik, ekonomi serta tahap intelektualnya. Jika kita berpadu dalam semua aspek ini, barulah ke- daulatan dan ketuanan itu dapat terpelihara selamanya.

Namun, apakah generasi muda mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang secukupnya dalam semua aspek ini? Inilah persoalan yang amat membimbangkan kerana orang Melayu sebenarnya masih belum bersedia untuk menerima keadaan seandainya ketuanan mereka hilang sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Senario pascapilihan raya umum lalu telah memberi ruang yang begitu besar untuk bangsa Melayu memikirkan, mampukah mereka mempertahankan ketuanan pada masa depan.

Kesan Pilihan Raya Umum Ke-12 memperlihatkan tragedi kepada orang Melayu yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kita sebelum ini.

Orang Melayu menunjukkan protes dalam pilihan raya akibat kemarahan, rasa tidak puas hati dengan kepimpinan politik Melayu.

Penubuhan sesetengah kerajaan negeri juga belum tentu memberi kuasa mutlak kepada orang Melayu.

Akibatnya terdapat tindakan dan keputusan yang menggugat keselesaan orang Melayu. Krisis dalam UMNO yang pernah menjadi wadah utama perjuangan Melayu kelihatan kian menebal sehingga menjadi tatapan buaya di air tenang.

Oleh yang demikian, kita tidak boleh lagi menyingkap punca perpecahan dan perbalahan Melayu itu sendiri.

Sebaliknya Melayu yang masih berkuasa perlu menyusun strategi dan bertindak segera memperbaiki keadaan. Jika kita terpaksa berkorban demi perpaduan Melayu, maka pengorbanan itu mesti dilakukan.

Melayu di Malaysia perlu melihat sedalam-dalamnya rumpun Melayu di negara sekelilingnya.

Apa yang pasti, sebesar mana jumlah mereka sekalipun, mereka didominasi oleh orang lain. Amat sukar untuk diperbetulkan kerana tindak-tanduk mereka akan menggunakan apa jua kelicikan, kebijaksanaan, malah kekerasan sekalipun untuk mendominasi pemerintahan. Kuasa yang terlepas belum tentu dirampas semula dalam tempoh yang singkat.

Maka adalah sewajarnya lontaran titah Tengku Mahkota Kelantan itu diberi perhatian serius, dikupas dan diambil tindakan segera walau dengan apa cara se- kalipun.

Kepada semua orang Melayu yang darah keturunannya adalah Melayu sebenar, tatapi dan kenangilah anak cucu dan generasi akan datang supaya Melayu itu benar-benar menjadi tuan di tanah air sendiri.

NORDIN ABDUK MALEK

Ipoh, Perak.