jump to navigation

Pas tak minat bincang dengan UMNO – Husam Musa April 19, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini membayangkan parti itu tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai ketuanan Melayu.

Beliau berkata, isu ketuanan Melayu tidak perlu diperbesarkan memandangkan masih banyak negeri dipimpin orang Melayu.

“Ketuanan Melayu ini tiada masalah. Yang jadi Menteri Besar Kedah, Perak, Selangor ialah orang Melayu. Perdana Menteri pun Melayu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai ketuanan Melayu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan pemimpin-pemimpin muda UMNO supaya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perbincangan dengan UMNO untuk membincangkan masa depan ketuanan Melayu.

Husam berkata, beliau tidak yakin PKR, Pas dan UMNO dapat mencapai kata sepakat dalam hal tersebut.

Sekiranya UMNO benar-benar serius hendak mencari kesepakatan, adakah parti itu bersedia memberi Pas mengendalikan perbincangan tersebut, ujarnya.

“Kami tidak menentang perpaduan Melayu tetapi kami tidak akan terperangkap sekali lagi,” katanya.

Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Salor, Kelantan turut menasihati wakil rakyat Pas supaya menghargai sokongan rakyat sehingga membolehkan mereka menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Beliau berkata, wakil rakyat harus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat bagi memastikan sokongan terus rakyat kepada parti itu.

Hasrat Anwar tak akan jadi kenyataan April 18, 2008

Posted by ganulening in Berita Terkini, Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru tidak akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut beliau, cadangan untuk membentuk sebuah kerajaan baru oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bertujuan untuk memfokuskan pandangan orang ramai daripada isu tertentu sahaja.

”Anwar buat ramalan tiap-tiap minggu tapi satu pun tak tepat, dia tak berubah dari dulu.

”Kita sebenarnya kena catat ramalan ini, banyak yang dia cakap tak jadi kenyataan, bila tak jadi kenyataan orang lupa dan ramalan lain diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Isu-isu Semasa oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, apa yang penting Barisan Nasional (BN) tidak mengikut rentak yang dimainkan oleh pembangkang sebaliknya mengikut rentak parti itu sendiri.

Anwar sebelum ini berkata, pembangkang akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan melompat keluar parti dan menyertai PKR bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, Pemuda UMNO akan memberikan peluang kepada semua ahlinya untuk membangkitkan soalan-soalan bagi melancarkan proses pemulihan di dalam sayap UMNO itu.

”Kita mendengar pandangan dan menjawab soalan yang dibangkit oleh ahli, bukan sahaja peringkat kepimpinan tetapi ruang kepada ahli jawatankuasa Pemuda untuk menyumbang kepada proses kumpul maklumat dan memberi kesempatan kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam usaha pemulihan.

”Dalam proses berkenaan, kita lihat ahli di peringkat jawatankuasa bahagian dan cawangan begitu peka dan prihatin mengenai perkembangan politik semasa serta faham tuntutan cita rasa orang ramai di luar sana,” katanya.

Tambahnya, apa yang perlu diambil kira dalam mengorak langkah ke depan ialah memastikan perubahan itu dapat dihayati oleh kepimpinan Pemuda supaya Pemuda sentiasa relevan dan ahli-ahlinya tidak berputus asa.

Pemuda UMNO, juga katanya bertekad supaya semua perbuatan tuding menuding antara satu sama lain perlu dihentikan kerana apa yang penting ketika ini ialah melakukan kerja dan memikirkan strategi untuk melaksanakan proses membina semula perjuangan.

”Kita perlu berhenti membawa isu dalaman UMNO melalui perbincangan secara terbuka kerana sekarang telah masuk tempoh sebulan setengah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

”Justeru, ahli-ahli pergerakan ini percaya tindakan konkrit ke arah pembinaan dan transformasi sayap kita sendiri perlu dilakukan,” katanya.

Pakatan Rakyat mula retak April 9, 2008

Posted by ganulening in Politik.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR: Belum sampai seminggu cadangan penubuhan Pakatan Rakyat diumumkan, gabungan itu sudah mula retak apabila DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah hasrat Pas yang mahu menjadi tunjang kepada pakatan berkenaan serta merealisasikan penubuhan negara Islam.

Beberapa pemimpin kanan DAP dan PKR semalam masing-masing membidas hasrat Pas itu dan menyifatkan kenyataan yang dibuat mengenainya tidak sesuai kerana boleh mengelirukan, selain menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Rakyat.

Pengerusi DAP, Karpal Singh, berkata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan berhubungan isu berkenaan bagi mengelakkan wujud prasangka terhadap Pakatan Rakyat.

“Apabila kita (DAP, PKR dan Pas) bersetuju untuk menubuhkan Pakatan Rakyat, sepatutnya segala kenyataan berhubung perkara itu mesti dibawa dalam perbincangan dan bukannya terus membuat kenyataan terbuka.“Bagaimana mungkin Pas menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi Parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub, yang berkata Pas wajar menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika mahu merealisasikan impian menubuhkan negara Islam.

Ahmad dilaporkan sebagai berkata, impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam sebenar yang tidak pernah memperkecil atau mengecualikan mana-mana pihak sebab ia adalah agama untuk kebaikan semua.

Cadangan itu turut disokong beberapa pemimpin Pemuda Pas yang mendakwa rakyat sudah boleh menerima pendekatan parti berkenaan selepas Pakatan Rakyat berjaya memerintah lima negeri dan mendapat majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, mahu Pas supaya memahami terlebih dulu erti demokrasi yang secara konsepnya jelas memperuntukkan parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen wajar diberi peluang untuk memimpin pakatan.

“PKR mendapat kerusi Parlimen paling tinggi iaitu 31 berbanding 28 DAP dan 26 Pas. Atas sebab itu, kita lantik Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Chua Tian Chang, berkata semua parti pembangkang yang menganggotai Pakatan Rakyat mempunyai tunjang dan kekuatan sendiri yang masing-masing boleh dimanfaatkan ke arah kebaikan.

Sehubungan itu, katanya, perkara yang penting kini ialah untuk Pakatan Rakyat berusaha mengotakan janji yang dibuat kepada rakyat pada pilihan raya umum lalu bagi memastikan mereka tidak meragui manifesto yang dilancarkan.

“Soal sama ada Pas, PKR atau DAP yang menjadi tunjang dalam pakatan pembangkang ini tidak harus timbul, sebaliknya setiap parti mesti mengotakan janji kepada rakyat supaya mereka terus menyokong kita,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam blognya mengulas, kenyataan yang dikeluarkan sejak beberapa hari lalu itu mengundang persoalan sama ada tiga parti dalam Pakatan Rakyat mengambil iktibar daripada kesilapan pada 2001 sehingga menyebabkan DAP terpaksa meninggalkan pakatan.

Cadangan kerjasama antara tiga parti selepas pilihan raya umum lalu perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan pemimpin di pelbagai peringkat memahami asas kepada kerjasama ini supaya ia tidak dieksploitasi musuh politik, selain menghalang berulangnya perpecahan, tulis beliau.