jump to navigation

UMNO-Pas-PKR akan bincang pertahan hak Melayu April 16, 2008

Posted by ganulening in Politik, Rencana.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR 15 April – Satu perbincangan tidak rasmi melibatkan tiga parti terbesar mewakili kaum Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan bagi memperhalusi cadangan permuafakatan untuk mempertahankan hak serta hala tuju orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau sendiri akan mengambil langkah permulaan untuk mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin pembangkang bagi menghalusi cadangan permuafakatan kaum Melayu.

Katanya, kesanggupan semua parti secara dasarnya untuk bermuafakat adalah langkah pertama yang harus disusuli dengan pertemuan untuk bertukar-tukar pendapat.

Langkah itu ujarnya, amat perlu untuk mengenal pasti asas penting sebelum menganjurkan sebarang cadangan ke peringkat yang lebih tinggi di pihak masing-masing.

“Permuafakatan merupakan satu cabaran kepada kita orang Melayu dan ini bukan satu usaha yang mudah dalam memastikan matlamat itu tercapai.

“Namun usaha kolektif pemimpin UMNO, Pas dan PKR adalah perlu agar tamadun orang Melayu dapat berkembang sealiran dengan tamadun bangsa lain di dunia,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini, melaporkan Pas dan PKR bersetuju untuk bermuafakat dengan UMNO dalam mempertahankan hak serta membincangkan hala tuju orang Melayu di negara ini.

Mereka juga meminta agar permuafakatan itu dapat dibentuk dalam tempoh panjang demi memelihara kepentingan bersama.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula berkata, permuafakatan membawa maksud yang amat baik tetapi ia perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip keadilan sesama Melayu dan kaum-kaum lain.

Katanya, pemimpin UMNO terlebih dahulu perlu jelas terhadap prinsip-prinsip kesaksamaan itu supaya mereka sendiri tidak mewujudkan jurang antara Melayu dengan Melayu atau Melayu dengan bukan Melayu.

Norza berkata, permuafakatan harus dibuat dalam kerangka yang sihat dalam struktur masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.